Recent Posts

Sunday, November 7, 2010

KeMATANGan suatu pemikiran


"Ko dah tua dah. Moga2 MATANG sket pasni" "Ape da kecoh bising2 amik gambar. Nampak sangat TAK MATANG. Patut rr tak kawin2 lagi.."

Matang. Satu perkataan yang agak subjektif maknanya. Mungkin berbeza maknanya bagi orang yang berlainan. Pandangan anda pula bagaimana? Apa pula perspektif anda tentang kalimah ini?

Adakah matang itu apabila orang dilihat "cool" dan "slow motion" dalam tindak tanduk mereka?

Atau mungkin, bagi lelaki, orang yang berjiwa "bapa" dan bagi perempuan orang yang berjiwa "ibu"? Hmm.. masih lagi kabur di situ. Mungkin bukan sahaja ber"jiwa", tetapi penampilannya juga seperti bapa orang dan ibu orang walaupun masih di usia muda.

Atau matang itu dikaitkan dengan mereka yang "cepat berkahwin"?

Atau mungkin matang ialah bijak dan tepat dalam melakukan sesuatu tindakan?

(Ambil masa sekejap, fikirkan sejenak...)

Realitinya, orang yang dilihat kebudak-budakan seperti akoo, akan dilihat tidak matang. Mereka yang jenis ceria lagi menceriakan juga tidak dapat lari daripada "gelaran" ini. Di pihak yang lain, dalam dunia realiti, orang yang pendiam dan kurang bercakap akan dilabel sebagai matang. Mereka ini lebih dikenali sebagai "tak ada perasaan". Hehe..

Pergi ke forum "Mampukah Malaysia menuju ke arah Demokrasi MATANG" tempoh hari juga menambahkan sedikit lagi kefahamanku tentang kematangan. Terima kasih dan tahniah kepada sahabatku Fahmi "blurp"(jangan marah ek.. nanti cepat "matang".. hehe..), kerana berjaya menganjurkan dan memaklumkan tentang forum tersebut.

Bagi akoo, panelis forum itu menunjukkan sifat matang dalam perbezaan pendapat. Walaupun seorangnya berfahaman agak sosialis, atau lebih kepada komunis, manakala, yang ada ada yang pemegang setia fahaman kapitalis, dan ada yang memegang kepada Islam, namun, semuanya masih mampu tersenyum dan bergelak ketawa saat panelis lain mengutarakan pendapat mereka. Jika ada idea yang lebih relevan dan tepat pada pandangan orang lain, mereka mampu untuk cuba menerima dan memberi pandangan mereka seterusnya. Pada pandangan akoo, itulah MATANG walaupun penuh dengan gelak ketawa dan jenaka.

Berbanding mereka yang kuat memegang sesuatu fahaman,(akoo tidak katakan tindakan ini salah), tetapi apabila orang yang "bukan mereka" memberi pandangan, semuanya ditolak dan dianggap salah. Atas alasan, mereka adalah musuh kita, tanpa memikirkan sejauh mana relevannya pendapat mereka.

Jangan terkejut, akibat sikap inilah yang menyebabkan Barat kekal mundur suatu masa dahulu. Semua idea yang datangnya daripada "musuh", semuanya ditolak mentah-mentah. Namun, apabila mereka mula berubah, bersikap lebih terbuka dan matang dalam perbezaan idea, maka di situlah terbitnya idea-idea baru daripada masyarakat Barat dan akhirnya mereka mampu maju dan menjadi antara yang di depan di mata dunia sehingga sekarang.

Argh.. pening kepala, daripada kebudak-budakan, ke forum, kemudian ke barat pula.. Apa itu matang sebenarnya???

Pada pendapat akoo, matang itu sebenarnya satu pemikiran(thinking) yang akhirnya membawa kepada tindakan yang sesuai dengan situasi atau keadaan. Benar, asas kepada kematangan adalah pemikiran, paradigma atau cara pandang kita terhadap sesuatu.

Tak percaya? Dahulu, kita hanyalah seorang budak kecil yang hanya tahu bermain dan membuat sesuatu tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Kita xtahu api itu panas dan menyakitkan, tetapi ia kelihatan cantik dan syok untuk dijamah, maka akhirnya tangan kita juga yang binasa. Itu pemikiran kita ketika itu. Setelah kita tahu bahawa api itu panas, maka kita mula mengelakkan diri untuk menyentuhnya. Tambahan pula, kita mula menggunakannya untuk memudahkan kerja hidup kita seperti memasak. Dan, alat-alat mula dicipta untuk mengelakkan rasa panas tersebut, maka lahirlah sarung tangan, pemadam api, bomba dan sebagainya. Di situ, kita mencapai kematangan. Pemikiran, akhirnya melahirkan tindakan yang tepat dan sesuai pada keadaan.

Dan, secara simplistiknya, tidak ada satu pemikiran yang lebih tepat, berbanding apa yang diutuskan oleh Yang Maha Bijak. Dia telah mengurniakan Islam sebagai satu manual untuk kita, manusia sebagai ciptaanNya.

Tak percaya lagi? Akoo ingin bawakan contoh forum yang telah akoo sebutkan tadi. Soal demokrasi "matang". Benar, manusia boleh mengeluarkan satu sistem yang baik untuk pemilihan pemimpin. Demokrasi, walaupun pada pandangan ramai pihak ia kelihatan adil untuk menentukan sesuatu pilihan, tetapi apabila mereka yang berperibadi buruk menang dalam sistem demokrasi, kita terpaksa akur dengan keputusan tersebut. Kerana majoriti telah mengundinya. Dan, akhirnya manusia terpaksa akur, bahawa sistem terbabit perlulah disandarkan kepada Islam, barulah ia akan menjadi satu sistem yang sempurna.

Peribadi pemimpin perlulah berakhlak mulia.

Tidak perlu ada unsur rasuah pengundi dalam pemilihan.

Perlu ada suatu kayu ukur mengatakan bahawa dia layak menjadi pemimpin.

Itulah keMATANGan dalam demokrasi. Tidak kurang bezanya apabila nilai Islam dipraktikkan dalam kehidupan kita. Justeru, untuk matang, pedalamilah agama. Maka, kita akan ketahui apa yang tepat untuk kita lakukan. (teringat pesan seorang sahabat di kedai makan. terima kasih banyak).

Justeru, jika kecoh dan bergelak ketawa itu, menimbulkan rasa manisnya bersahabat. Itu tindakan yang matang.

Jika berpewatakan ceria kerana itulah watak peribadi yang natural dan tidak hipokrit dengan diri sendiri untuk menjadi "orang lain". Itu satu kematangan.

Jika berkahwin lambat itu bukan kerana sengaja menangguh-nangguh tetapi kerana perlu menyelesaikan tugas lain yang lebih aula(penting) dahulu. Itu satu kematangan.

"Akoo kisah apa orang cakap akoo tak "matang". Yang penting, pemikiran akoo perlu MATANG" respon akoo dengan "kerek"nya. Hehe..

Friday, November 5, 2010

Perubatan Islam: Bukan Sekadar "ITU"


Bila disebut "perubatan Islam", apakah yang akan bermain di fikiran kita?

Dalam budaya masyarakat kita, boleh dikatakan istilah ini cukup sinonim dengan rawatan menggunakan ayat Al Quran, menggunakan ayat jampi, rawatan apabila dirasuk jin, berbekam, madu lebah dan sebagainya. Perubatan yang diamalkan oleh mereka yang berijazah perubatan di universiti adalah "perubatan Barat", dan sudah tentu ada yang cukup "alergik" dengan kalimah Barat diterapkan dalam hidupnya.

Namun, adakah benar demikian?

Seorang tokoh dalam bidang perubatan, yang merupakan antara perintis kepada idea Hospital Mesra Ibadah di Malaysia pernah menegur akoo menggunakan kalimah "perubatan Islam". Hal ini kerana bagi beliau, tidak ada yang dikatakan perubatan Islam, yang ada ialah kita memasukkan nilai Islam dalam perubatan itu sendiri.

Ada benarnya kebimbangan dan teguran beliau, di mana persepsi masyarakat terhadap perubatan moden atau Barat sangat sempit. Perubatan moden dilihat sebagai satu amalan yang terasing daripada Islam. Sedangkan, Islam itu adalah agama yang menekankan ummatnya tentang konsep "sunnatullah". Segala eviden, kajian dan ubatan yang ditemui oleh manusia dalam perubatan itu tidak lain tidak bukan adalah hukum yang Allah Taala tetapkan dalam alam ini.

Justeru, mana mungkin Islam menolak kaedah atau method perubatan moden itu sendiri, bahkan perubatan moden itu adalah sebahagian daripada tuntutan Islam(fardhu kifayah) untuk kita pelajari.

Bukanlah maksud diri untuk menolak rawatan yang di"khabar"kan perubatan Islam yang ada, namun, tidak mahu pandangan masyarakat HANYA melihat perubatan Islam:- jin, jampi, urut, madu, bekam. Walaupun ada pihak yang mengamalkan perubatan moden, menolak mentah-mentah perubatan yang dikategorikan sebagai "perubatan tradisional" ini, akoo tetap percaya rawatan ini punya hujahnya sendiri dan tetap ada kebaikan di sebaliknya.

Sayang seribu kali sayang, apabila ada doktrin-doktrin yang diinjek kepada masyarakat bahawa hanya "perubatan Islam" ini sahajalah yang mengikut syariat Islam. Perubatan moden atau Barat itu tidak syar'i dan kononnya ia hanyalah tipu daya Barat. Sedangkan, mereka sendiri menggunakan nama "Islam" untuk memajukan bisnes mereka. Doktrin seperti inilah yang merosakkan minda masyarakat, sekali gus memberi imej buruk kepada Islam itu sendiri, apabila dilihat jumud dan tertutup kerana tidak mahu menerima perkembangan teknologi.

“Hikmah itu adalah barangan yang tercicir (dari tangan) orang Mukmin. Di mana pun beliau menemuinya, maka dialah yang paling berhak terhadapnya”

Thursday, November 4, 2010

Mustahil


"Siapa di antara kamu yang merasakan bahawa kita mampu menghapuskan institusi penjara?" tanya pensyarah kepada pelajarnya.

Pelajar tidak respon kepada soalan tersebut. Mungkin kerana mereka melihat persoalan tadi agak kurang serius dan seperti "main-main" sahaja.

Sekali lagi si pensyarah mengulangi soalan yang sama, "Siapa di antara kamu yang merasakan bahawa kita mampu menghapuskan institusi penjara?"

Melihat keadaan pensyarah seperti serius dengan apa yang ditanya, seorang pelajar menjawab, "Apa maksudnya? Adakah ingin membebaskan kesemua penjenayah, pembunuh, perogol dan pencuri? Kan bahaya bunyinya tu. Kita semestinya memerlukan penjara."

Kemudian, suasana mula riuh dengan tambahan daripada pelajar lain.

"Peraturan takkan dipatuhi jika tiada penjara".

"Ada sesetengah orang yang sememangnya dilahirkan untuk menjadi penjenayah(born to be criminal)"

"Sepatutnya, kita memerlukan lebih banyak penjara, bukan menghapuskan"

"Tak baca apa yang tertulis dalam surat khabar hari ini pasal kes jenayah yang makin meningkat?"

Setelah membiarkan 10 minit pelajarnya bersuara, si pensyarah mula bersuara, "Baiklah.. Anda telah buktikan kepada saya tentang kepentingan dan keperluan bagi sebuah penjara. Namun, boleh tak anda menolong saya seketika. Cuba paksa diri untuk mengatakan bahawa bagaimana kita boleh menghapuskan institusi penjara?"

"OOo.. Kalau untuk suka2, kita boleh try" respon seorang pelajar. "Mungkin kita boleh kurangkan jenayah dengan cara menubuhkan pelbagai kegiatan untuk remaja supaya tidak terjebak dengan gejala sosial."

Suasana mula riuh sekali lagi. Namun, kali ini dalam situasi yang berbeza.

"Kurangkan kemiskinan. Kerana kebanyakan penjenayah melakukan kejahatan kerana masalah ekonomi." "Buat kajian tentang siapakah yang berpotensi untuk menjadi penjenayah dan atasi mereka sebelum mereka berjaya menjadi penjenayah." "Undang-undang kita perlu lebih ke arah pembentukan diri yang positif dan menggalakkan rakyat untuk berbuat baik"

Pelajar yang sebelumnya mengatakan bahawa "mustahil" bagi institusi penjara dihapuskan, akhirnya memberikan begitu banyak idea baru untuk me"mungkin"kan perkara itu berlaku.

Percayalah. Itulah yang terjadi apabila kita membuang perkataan "mustahil" dalam sebuah perbincangan. Sedikit sebanyak hikmah yang akoo peroleh daripada "The Magic of Thinking Big".

Bila "mustahil" menguasai diri

Setelah sekian lama berpegang kepada pemikiran "realistik", tersedar bahawa diri sudah hanyut daripada berani mencuba sesuatu idea yang difikirkan agak "mustahil" untuk digapai.

Kita tak mampu.

Tu idealistik sangat.

Dulu orang ada buat idea yang lebih kurang sama, tak berjaya pun.

Idea lama yang senang pun kita tak buat, ni nak bawa idea baru yang lagi kompleks.

Itulah yang sering bermain di minda. Namun, sedikit sebanyak menyedari bahawa semakin lama, diri ini menjadi semakin PENGECUT. Kecut akan hasil yang akan dihadapi nanti. Walhal, hasilnya belum pasti, dan kita masih belum melangkah setapak ke arah itu.

Kreatif dan "tiada yang mustahil"

Bila kita percaya bahawa tidak ada yang mustahil dalam dunia ini, kerana Allah Taala mampu buat apa sahaja yang Dia kehendaki, maka idea-idea baru akan timbul. Itulah yang dinamakan kreatif.

Kreatif bukanlah terikat kepada intelektualiti. Kita tidak harus menjadi bijak seperti Einstein, baru idea kreatif akan terhasil daripada pemikiran kita. Ia tidak begitu. Kerana kreatif berkaitan dengan "kepercayaan". Selagi kita biarkan sang mustahil menguasai diri, selagi itu kita akan terperangkap dalam dunia kita yang lama.

Justeru, percaya bahawa tiada yang mustahil untuk kita capai, maka nantikan idea luar kotak akan menyusul.

Mustahil dan Kapasiti

Mampu. Selalu dijadikan alasan kenapa sesuatu perkara "mustahil" untuk dilaksanakan. Hakikatnya, kemampuan itu hanyalah satu cara kita memandang diri kita sendiri. Manusia sebenarnya lebih mampu daripada apa yang difikirkannya.

Masakan tidak, kita rasakan kita tidak mampu untuk berlari pantas, tetapi apabila dikejar anjing, entah dari mana kemampuan itu datang, kita lebih laju daripada pelari pecut negara.(hiperbola ni!! Hehe..).

Tidak mampu kerana terlalu sibuk. Hakikatnya, orang yang sibuklah akan membuat sesuatu kerja dengan baik. Kerana, mereka tidak punya banyak masa dan mereka tidak boleh membuang masa. Maka, mereka akan terus mengalir dan cuba menggunakan masa mereka sebaiknya. Berbanding dengan mereka yang cukup lapang, mereka akan bertakung, dan mengambil sesuatu secara sambil lewa. Atas dasar apa? Atas dasar mereka punya banyak masa, dan tidak perlu tergesa-gesa untuk menyelesaikan sesuatu.

Oleh sebab itu, yakinlah bahawa kemampuan itu terletak kepada sejauh mana kita memandang diri kita sendiri. Jika kita meletakkan diri kita pada tempat yang rendah, maka rendahlah kemampuan kita.

Ayuh! Jom! Akoo turut mengajak diri sendiri untuk membasmi "mustahil" dalam pemikiran. Mudah-mudahan, usaha ini dibantu oleh Allah Taala kerana tiada sesuatu yang SUSAH bagiNya. Jika Dia nak sesuatu itu jadi, maka jadiah ia.

Jadi, encik Mustahil, tunggu apa lagi, boleh blah!!