Recent Posts

Thursday, July 28, 2011

HANYA "common sense" itu


"Buat apa buang duit belajar banyak2 soal parenting ni, mak bapak akoo dulu, tak ada pun belajar semua ni, akoo ni, anak dia, dapat juga berjaya sampai jadi professional"

"Cukuplah kita jadi orang baik, nanti anak kita pun akan jadi baik insyaAllah. Yang lain tu, common sense kot."


Begitulah selalunya respon berhubung dengan ilmu kekeluargaan dan keibubapaan. Akoo juga pernah beriman dengan perkara sebegini. Namun begitu, setelah melalui posting psychiatry dan melihat betapa keruntuhan sebuah institusi kekeluargaan mampu menjadi punca kepada hampir majoriti penyakit mental, paradigma akoo berubah.

Malah, kita juga diingatkan oleh Nabi SAW tentang tanda-tanda kiamat, antaranya ialah soal "pedagang unta sibuk meninggikan bangunan" dan soal "ibu melahirkan tuannya". Hal ini boleh dianalisis sebagai berkembangnya sifat materialistik di kalangan masyarakat dan soal KERUNTUHAN INSTITUSI KELUARGA.

Itulah cabaran yang bakal kita, ummat akhir zaman hadapi di dalam dunia yang penuh dengan fitnah ini.

Justeru, akoo mengambil langkah untuk memberanikan diri menghadiri "seminar keluarga bahagia" yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal saifulislam.com. Pada mulanya, agak kekok dengan suasana lebih separuh audiens yang hadir adalah daripada mereka yang telah berkahwin, datang berpegang tangan bersama isteri khususnya yang BARU berkahwin, malah ada yang membawa anak kecil mereka bersama. Tambahan pula, agak risau akan dilabelkan sebagai "dah nak kahwin ke mamat ni?", walhal soal ini, belum sesuai masanya untuk diri akoo. Namun, atas dasar nekad, ingin menambah ilmu soal kekeluargaan, akoo setia berada di situ.

"Peduli apa orang nak fikir apa, yang penting, akoo tahu apa yang akoo buat".

Ternyata, menguruskan rumahtangga itu bukanlah sesuatu perkara yang perlu dipandang enteng. Benar, apabila kita berkahwin telah sempurna separuh daripada agama, namun, biarlah pada masa dan waktu yang sesuai. Bilakah "sesuai" itu? Tepuk dada, tanya HATI.

PASANGAN

"Adakah kita berkahwin dengan orang yang TEPAT?"

Soalan ini cukup famous di kalangan orang muda. Malah, pernah satu ketika group posting akoo mengadakan satu forum yang tidak formal, hanya membincangkan soal "adakah pasangan doktor menjaminkan pasangan yang bahagia". Menariknya, "ahli panel" dalam forum ini adalah non muslim dan hujah yang dikeluarkan tentu sekali hujah AKAL.

Maka timbullah yang lelaki berkata, akibat dia sudah terlalu sibuk, dia tidak mahu mempunyai isteri yang juga sibuk sepertinya. Pasrah dengan jawapan si lelaki, yang perempuan pula berkata dia tidak kisah siapa yang menjadi suaminya, tetapi hendaklah seseorang yang memahami dirinya. Maka, timbullah pertembungan pendapat sehingga ada yang mengeluarkan persoalan sekiranya kerja dan pasangan, siapa yang perlu didahulukan, perempuan yang sibuk perlu benarkan pasangannya kahwin lagi dan sebagainya.

Kecoh. Riuh. Dengan gelak tawa dan ketegangan yang berlaku.

Dan ia diakhiri dengan mereka bertanya pendapat akoo tentang isu ini. "Benda asasnya ialah soal TUJUAN. Jika kita jelas, mampu menjawab untuk apa kita berkahwin, untuk apa kita menjadi doktor dan untuk apa kita hidup, semua soalan tadi dapat dijawab. Jika soalan ini tidak mampu dijawab, selagi itu, kita tidak mampu menjawab isu-isu tadi", akoo cuba menutup dengan melontarkan penjelasan "akal" untuk mereka fikirkan.

Isu kesefahaman suami isteri ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia juga mampu menyumbang kepada runtuhnya insitusi keluarga. Berapa ramai anak yang telah menjadi mangsa korban ibu bapa yang tidak sehaluan. Akibat tiada "bahagia" antara kedua ibu bapa, maka kebahagiaan dalam "keluarga" turut terkesan. Maka, anak akhirnya memilih mereka yang "di luar keluarga" untuk mendapat kebahagiaan.

Tetapi, perlu diingat, benar, soal pemilihan pasangan yang tepat perlu diambil berat. Tetapi, soal lain yang perlu diambil berat ialah "Adakah KITA pasangan yang TEPAT kepada pasangan kita?". Cermin diri. Mulakan perubahan dengan individu yang berada di dalam cermin itu. Adakah kita sudah bersedia untuk menjadi suami atau isteri yang baik? Jika belum, sekali lagi, tepuk dada, tanya hati adakah kita bersedia menghadapi cabaran rumahtangga itu.

IBU BAPA

Setiap anak-anak itu asalnya daripada individu yang bersih dan tidak tahu apa-apa. Ibu bapa adalah guru yang pertama bagi membentuk anak mereka untuk menjadi pemalas, melawan cakap, banyak tengok drama, suka pergi masjid dan sebagainya. Kejam bukan?

Mungkin ada yang mengatakan, ibu bapa dan puas nasihat anak, tetapi anak tak nak dengar. Dalam mendekati isu ini, secara asalnya, kita perlu sedar bahawa ibu bapalah yang mendidik anaknya tidak mendengar nasihat. Yang kedua, CARA mendekati anak-anak dalam mendidiknya merupakan faktor penting penerimaan anak-anak.

Menyayangi anak-anak bukanlah HANYA dengan memberi segala apa yang mereka mahukan. Cukup makan, pakaian dan tempat tinggal, maka tanggungjawab sebagai ibu bapa telah selesai. Ramai yang sedar akan kesilapan ini, namun masih ramai yang masih lagi mengejar material berbanding anak-anak atas alasan, "akoo nak bagi keselesaan kepada anak-anak akoo. Baru mereka bahagia".

Walhal, kebahagiaan anak-anak itu bukan sekadar fizikal semata-mata. Anak perlukan nafkah fizikal, emosi, pemikiran dan spiritual. Semuanya perlu dipenuhi. Bila nafkah fizikal tak dipenuhi, maka tumbesaran anak-anak mungkin terganggu, dan tidak lupa dari aspek kesihatannya.

Bila nafkah emosi tidak dipenuhi, maka lahirlah golongan yang "kurang kasih sayang". Bila anak tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa, usah bicara soal anak tidak mahu mendengar nasihat dan cakap ibu bapa.

Seterusnya, jika nafkah pemikiran tidak dipenuhi, maka jangan terkejut jika timbulnya golongan lembut, lembab dalam membuat keputusan dan sebagainya.

Nafkah spiritual pula, jika tidak dipenuhi, maka usah dambakan doa anak-anak yang soleh ketika kita di sana nanti.

Soal APA dan BAGAIMANA hendak memberi setiap nafkah ini, itulah yang perlu kita sebagai ibu bapa(opss.. to-be), perlu pelajari. Bukanlah bermaksud sehingga perlu mendapat ijazah ilmu ini, baru layak menjadi seorang ibu atau bapa, tetapi ia sebagai bekalan ilmu untuk kita praktikkan bahkan akan terus kita pelajari apabila kita bergelar ibu bapa kelak.

Dengan segala persiapan ini, dengan izinNya, kita mampu berhadapan dengan fitnah akhir zaman yang tersangat mencabar pada masa kini, seterusnya mampu membina ke arah sebuah tamadun Islam yang akan memberi rahmat ke seluruh alam.

Berbekalkan kesedaran dan kefahaman ini, sedikit sebanyak menimbulkan minat akoo untuk meletakkan ilmu psychological medicine sebagai antara pilihan (masih lagi mencari minat bidang yang lain) yang bakal dicebur suatu hari nanti. Bidang yang selalunya menjadi stigma kepada masyarakat. Mana tidaknya, apabila dimasukkan ke dalam wad psychiatry, orang itu dianggap sebagai "orang gila", dan ibu bapa sangat takut untuk membawa anaknya berjumpa dengan psychiatrist, kerana takut-takut anaknya dilabel sebagai "GILA" atau "SAKIT MENTAL". Hehehe..

Mengambil stigma masyarakat ini sebagai cabaran untuk dihadapi (mungkin), pada suatu hari nanti. Kerana, akibat stigma ini, anak-anaklah yang menjadi mangsa, terus tidak dirawat dengan awal dan memburukkan lagi keadaan. Insitusi keluarga turu terjejas akibat stigma ini. Doakan! Demi Islam dan tertegaknya masyarakat bertamadun.

Akhir kata, walaupun ianya hanya ilmu "common sense", ia mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Justeru, jangan pernah jemu mempelajarinya.

p/s: entry ini juga ditujukan khas kepada sahabat baik akoo yang dah nak kahwin dalam bulan 3 tahun depan. Semoga berSEDIA!

Monday, July 18, 2011

Mengurus PERUBAHAN


Zaman semakin mencabar. Mereka yang tidak dapat mengadaptasi dengan perkembangan zaman akan pupus, kata teori evolusi. Akoo tidak mahu membahaskan soal "di sebalik" teori tersebut, namun, cukuplah untuk mengambil sedikit hikmah daripada teori terbabit.

Guru yang telah lama menggunakan "kapur tulis", sudah tentu agak kekok untur bertukar kepada "whiteboard marker". Namun, kekok itu biasa, yang penting, telah mula mencuba. Menariknya, akan ada mitos2 dari sesetengah golongan yang tidak mahu pertukaran tersebut berlaku. Kata mereka, sebab itulah pelajar sekarang banyak yang kurang ajar, ilmu lambat masuk, banyak gejala sosial..... Semuanya disabitkan kepada tertukarnya "kapur tulis" kepada "whiteboard marker".

Semua jadiserba salah. Jika tidak berubah, akan terus ditinggal zaman. Mahu berubah, akan ada "polis2 trafik" di tengah jalan.

Namun, perkara baru yang akoo pelajari tentang perubahan ialah "perubahan perlu diurus".

PERUBAHAN, KUASA DAN RAKYAT

Perubahan perlu dilihat daripada 2 aspek. Daripada sudut seorang pemimpin dan sudut seorang pengikut atau rakyat. Selalunya, idea dan strategi perubahan ini datangnya daripada pihak pemimpin. Ini mungkin tidak menjadi masalah jika perubahan itu diterangkan dengan baik kepada masyarakat bawahnya.

Namun, situasinya berlainan apabila suara perubahan itu datang daripada rakyat yang tidak mempunyai autoriti dalam sesebuah organisasi. Akibat mereka tidak punya apa2 kepentingan dalam organisasi tersebut, tidak perlu menjaga hati sesiapa pun, maka idea perubahan yang dibuat adalah lebih lantang dan telus.

Ia mungkin dilihat baik oleh rakyat yang ingin membuat perubahan, namun, kadangkala akan dilihat "ancaman" bagi sang pemerintah. Ada pemerintah yang akan memikirkan situasi rakyat lain yang masih belum mampu menerima perubahan itu, ada pemerintah yang melihat perubahan itu akan mengganggu gugat kedudukannya dalam organisasi tersebut. Itu semua, terpulang kepada sejauh mana integriti seseorang pemerintah tersebut.

PERUBAHAN DAN KEZALIMAN

Kerap kali, apabila suatu perubahan itu mengganggu gugat sesebuah pemerintahan, sejarah telah membuktikan bahawa langkah yang paling popular di kalangan pemerintah adalah mengecam mereka yang membawa perubahan. Media diguna pakai bagi memastikan orang ramai melihat sang pencerah ini adalah pengkhianat dan penghancur dunia.

Jebat telah menerima padah. Galileo Galilei juga menimpa nasib yang sama. Itu mungkin dalam situasi yang tak berapa "islamik".

Percaya atau tidak, dalam sejarah khalifah Islam, malah dalam gerakan Islam semasa itu sendiri, ternyata wujud pemerintah yang kecut dan bimbang dengan perubahan yang dibawa oleh rakyat apabila wujud pemikiran-pemikiran baru yang nampaknya seperti mengganggu gugat popularitinya sebagai pemerintah. Lalu, apa yang dibuat? Dihukum pembawa pemikiran tersebut termasuklah masyarakat lain terus diancam dan di"kerat" jika ada di antara mereka yang membawa pemikiran terbabit.

Sayangnya, tindakan mereka itu hanya menyebabkan mereka "win the battle, but lost the war". Keadilan akan terus terpelihara dan kezaliman hanya membawa kepada kehancuran.

DECISION MAKER YANG MATANG

Apabila berada di dalam kasut pemimpin, bukan mudah untuk membuat keputusan dalam sesuatu idea perubahan. Dia perlu melihat kepada maslahah dan mafsadah sejagat, bukan hanya merujuk kepada diri dan sesetengah kelompok.

Justeru, apa-apa idea hendaklah dinilai dengan hati yang jernih tanpa apa-apa sentimen walaupun ianya datang daripada orang yang tidak disukai. Hikmah ini perlu dipelajari daripada tamadun China seperti dalam cerita "3 Kingdoms", yang bukan hanya menyanjungi mereka yang "kuat" dalam peperangan, tetapi mereka juga sangat menyanjung ilmuan dan sarjana yang sangat "bijak" dan mampu melihat lebih jauh ke depan.

Sarjana mampu memberikan pendapat yang pelbagai, namun, pemimpin yang baik merupakan pemimpin yang mampu menentukan APA yang SEPATUTnya dibuat. Itu adalah pemimpin yang baik. Dia tidak menutup idea, tidak menolak pendapat ilmuan A, dia tidak menolak pendapat ilmuan B. Dia mungkin menerima pandangan ilmuan A atau B, tetapi dia juga mampu membuat keputusannya sendiri. Mungkin keputusannya adalah C.

Ahhh... Ideal sungguh! Terpulang. Namun, akoo percaya, faktor ini mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah tamadun. Tamadun "kerat mengkerat" akan runtuh, tamadun "mengancam pencerahan" akan lupus, yang tinggal hanya tamadun yang mampu "mengurus perubahan". Ayat ini mungkin tidak penting buat masa ini, tetapi apabila anda telah menjadi pemerintah atau pemimpin, ingat ayat ini sebaiknya.

Saturday, July 9, 2011

Hari Bersejarah (to-be)


"Apa la diorang ni, nak sampai mesej pun, takyah la buat sesakkan jalan raya. Menyusahkan hidup akoo je.." keluh pembaca setia Utusan Malaysia.

"Isy3.. Diorang ni, xreti nak bertaubat ke, kan ulama' dah kata haram demo-demo ni?" resah penonton tegar media prima pula.

"Kita kena join BERSIH. Kan kebersihan tu sebahagian daripada iman" ujar seorang pendengar setia kuliah maghrib di masjid.

"Saya sokong boleh la.. Sokong dalam hati. Nak zahirkan, nanti kena tangkap pula. Takut beb.. Dah la tak habis belajar lagi." bisik seorang mahasiswa tahun akhir.

Harinya sudah tiba. 9 Julai 2011. Tersenyum, loya, pelik, geram, marah dan pelbagai lagi perasaan timbul melihat perkembangan situasi negara. BERSIH dan warna KUNINGnya. Bakal menjadi sejarah penting bagi Malaysia.

Dalam zaman yang dipenuhi dengan pelbagai pemikiran ini, apabila timbul sesuatu isu, kita dapat lihat pelbagai tafsiran yang dibuat. Golongan agama terus mendebatkan halal haramnya demontrasi. Golongan politikus terus menampilkan golongan merekalah yang paling menjaga hak rakyat. Berdemo untuk menuntut keadilan dan hak rakyat. Menghalang demo juga untuk menjaga hak rakyat daripada kesesakan lalu lintas, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya.

Benar, dalam apa-apa isu, akan timbul banyak golongan. Namun, golongan majoriti ini sering dilupakan. Golongan menyampah dengan situasi yang ada dan tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku. LANTAKisme. Ternyata, peranan media, sikap sesetengah golongan yang terlalu ego dengan pendapatnya, dan cara berfikir yang silap akan terus meningkatkan lagi peratus golongan ini dalam masyarakat.

Politik telah terkena tempias ini.

Yang agak merisaukan akoo, ialah soal agama juga nampaknya bakal terkena juga. Benar. Apabila media terus melontarkan hujah hukum yang dianggap "panas" sahaja, apabila golongan yang merasakan "golongan akoo LEBIH ISLAM daripada golongan lain" bertambah, maka tidak hairan jika ada golongan yang melihat agama sebagai sesuatu yang menyerabutkan hidup. Justeru, apa tindakannya? Tinggalkan agama. "Diorang nak gaduh, diorang punya hal, malas akoo nak campur, yang penting, hidup akoo tenang".. Statement ini cukup menggerunkan.

Namun, percayalah... golongan ini sudah ramai, bahkan akan terus bertambah.

Satu perkara lagi yang perlu diingat, faktor PEMERINTAH YANG KOTOR, turut menjadi penyumbang terbesar bagi penyakit ini. Oleh sebab itu, perjuangan memBERSIHkan kekotoran yang ada, perlu disokong bagi mereka yang masih belum terkena penyakit LANTAKisme tadi.

Alhamdulillah... Akoo melihat aura BERSIH pada kali ini nampaknya lebih terasa kepada semua rakyat. Dari segi publisiti, bagi akoo, sangat berjaya. Walaupun akan ada pembaca setia Utusan Malaysia dan penonton setia media prima yang akan terus terpengaruh dengan persepsi mereka terhadap perjuangan ini, namun pendapat peribadi akoo, rata-rata rakyat yang cakna dengan keadaan negara, FAHAM akan perjuangan ini.

Bagi akoo, itu yang paling penting. Bukan sekadar berdemo untuk suka-suka. Bukan sekadar berdemo untuk rasa marah. Bukan sekadar berdemo kerana turut kawan. Tetapi berdemo kerana punya TUJUAN.

Mungkin ramai yang mengambil perkataan "bersih" itu secara literal. Ada yang me"nempel"kan dalil dan hujah-hujah lain dengan perkataan tersebut. Kebanyakan ilmuan "tinggi" akan terus menempelak golongan ini. Namun, kadangkala, berfikiran literal itu tidak salah jika kena pada tempatnya, bahkan menjadi satu kelebihan. Pemikiran literal itu perlu bagi menyampaikan hujah sesuai dengan tahap pemikiran orang yang mendengar. Apa guna membahaskan sesuatu perkara secara mendalam sekiranya orang yang mendengar tidak mampu fahami apa yang kita sampaikan? Justeru, dalam sesetengah keadaan, literal itu adalah kebijaksanaan.
"Orang yang bijak adalah orang yang mampu menyampaikan sesuatu maklumat yang kompleks menjadi satu maklumat yang senang untuk difahami"

Semoga BERSIH2.0 diberi keizinan olehNya untuk berjalan lancar! Kerana, walaupun cuba dihalang oleh sang pemerintah dan "anjing-anjing"nya, ditambah pula bertembung dengan 2 golongan lain yang cuba membuat provokasi, jika YANG MAHA KUASA mahukan ianya tetap berjalan, ia akan tetap berjalan. Sama-sama kita doakan.

9 Julai 2011. Hari bersejarah(to-be) untuk Malaysia!

Thursday, July 7, 2011

Cabaran REALiti


"Kalau nak pastikan tak ada yang menipu tentang kad makan, kita kena perkuatkan lagi peraturan dewan makan. Makcik yang jaga kad makan perlu ada setiap masa"

"Ini soal honesty"


"Habis, kalau camtu, xperlu ada peraturan dan kad makan la.. Just percaya bahawa semua orang akan honest dengan diri dia, dan tak akan ambil makanan 2 kali"
Isunya NAMPAK simple. Hanya soal makan di dewan makan. Tetapi, realiti hidup itu tidak semudah yang disangka. Penuh dengan cabaran.

Jika isu ini diutarakan kepada sahabat seperjuangan serta rakan yang mempunyai faham Islam, mungkin tidak ada masalah. Tetapi, apabila berdepan dengan mereka yang agak "liberal", non muslim yang punya pendirian dan pemikiran sendiri, di situ, isu semudah ini boleh menjadi suatu yang sangat sukar untuk mendapat satu resolusi.

Sejujurnya, di alam kampus inilah pertama kali akoo bergaul dengan mereka yang bergelar non muslim. Mungkin dulu ada, semasa di sekolah, ada cikgu non muslim dan pengalaman singkat dan tidak matang bersama rakan-rakan non muslim di PLKN. Selama 5 tahun di kampus juga, majoriti masa diperuntukkan untuk berbincang dan bersama dengan rakan-rakan satu fikrah.

TAKLIFAN BARU

Setelah mendapat taklifan sebagai Pengerusi Balai Islam kolej bagi sesi kali ini, akoo sangkakan tugas ini seperti mana tugas akoo semasa memegang "persatuan islam" dahulu. Namun, ternyata, setelah diberi kefahaman tentang pergerakan sesebuah organisasi Islam, kali ini, Dia ingin mendidikku untuk berhadapan dengan sebuah "realiti".

Taklifan kali ini cukup penuh dengan cabaran.

Menjadi seorang pemimpin peringkat pertengahan, (seperti yang dinyatakan dalam 360 Leader), semestinya cukup menguji kesabaran. Kita mendapat halangan daripada "orang atas", perselisihan pendapat sesama "rakan seperjuangan", dan perlu mengendalikan "orang bawah" untuk sama-sama mencapai matlamat.

HALANGAN DAN ANCAMAN ORANG ATAS

"Akoolah yang paling berkuasa di sini. Siapa yang tak suka duduk bawah akoo dan bawah kawasan akoo, boleh keluar daripada tempat akoo"

Secara ringkasnya, inilah pemikiran orang atas yang dihadapi. Peraturan demi peraturan diperketatkan. Habis penghuni disaman dan beberapa dikerat. Diajak berbincang dan dinasihati, dibalas dengan "saya orang paling berautoriti di sini".

Jiwa muda terus bergelora. Memikirkan nasib "rakyat" di bawah pemerintahan orang atasan yang agak diktator. Namun, acap kali perasaan itu ditenangkan dengan niat baik orang atasan untuk membetulkan SIKAP "rakyat" yang semakin membimbangkan saban hari.

Kata orang, jika tidak boleh bekerja dengan orang atasan, sama ada tukar orang atasan, atau tukar cara pandang kita terhadap orang atasan. Itulah sikap proaktif. Akoo memilih pilihan yang kedua terlebih dahulu, dan sedikit "ancaman" dibuat gara-gara pendekatan "slow talk" dan "nasihat baik" tidak dilayan.

Alhamdulillah... Nampaknya ia berkesan. Namun, diri ini masih memerhati, jika sang pemerintah masih diktator, pilihan pertama akan akoo pilih!

PERSELISIHAN RAKAN SEPERJUANGAN

Dalam organisasi Islam sendiri, sudah banyak kepala dan perselisihan pendapat, apatah lagi dalam organisasi realiti ini, yang rata-ratanya mempunyai perwatakan pemimpin, punya prinsip dan pemikiran tersendiri.

Tidak kurang juga, perbezaan budaya dan ragam yang agak ketara. Ada yang pendiam. Ada yang lantang bersuara. Ada yang hanya memerhati. Malah ada yang hyperactive. Jika semua membaca buku 7 habits, mungkin boleh akoo lontarkan soal think Win/win dan konsep sinergi. Namun, realiti mengajar akoo bahawa konsep itu tidak semestinya perlu difahami dengan menghadam secara kritikal buku terbabit.

Konsepnya hanya perlu diPRAKTIKkan bagi membuatkan mereka mengerti apa erti kepentingan konsep terbabit. Dan alhamdulillah... Kami mampu mengeluarkan satu semangat baru atas terma "TEAM". Dan sedikit sebanyak konsep PERBEZAAN sebagai satu KELEBIHAN akoo utarakan.

Walaupun itu sudah tercapai, perbincangan yang melibatkan soal prinsip agama dan moral masih lagi membuatkan akoo kekok dan terkadang, hilang akal. Tidak tahu bagaimana harus akoo bertindak dan memberikan respon kepada mereka.

Sebagai contoh, dalam kes pada awal entri, jikalau mereka yang beragama Islam, boleh sahaja akoo utarakan soal halal haram dan keberkatan. Namun, bila memikirkan bahawa mereka adalah non muslim, akoo seperti agak sukar memilih ayat dan konsep yang sesuai.

PENYAKIT LOW EXPECTATION
"Bagi akoo, betul, ini soal honesty. Tetapi, peraturan itu perlu ada untuk mengawal tingkah laku manusia. Islam ajar kami begitu. So, bagi akoo cukup dengan peraturan yang ada, tidak perlu diperketatkan, sebab peraturan itu untuk MENGAWAL, bukan menghalang kita buat something. Sebab itu, dalam Islam ada halal dan haram, ada dosa dan pahala." tiba-tiba akoo memberanikan diri memberikan pendapat

"Akoo tahu soal halal haram. Tapi, still akoo nampak ada je malay yang curi-curi makan" seorang non muslim membalas, musykil dengan sikap orang Islam sendiri.

"Soal itu, bila makcik yang jaga tu tak ada, kalau kita nampak, tugas kita adalah untuk menegur diorang. Sebab itu dalam Islam ada dakwah dan nasihat. Dan kalau kita nasihat orang, mungkin dia tak dengar. Tapi, kita kena cuba bagi nasihat yang paling baik untuk dia dengar. Itulah tugas kita!"
jelasku sekali lagi.
Semua mengangguk diam. Setuju. Walaupun mungkin seakan-akan sedikit "pelik" statement terbabit.

Rupa-rupanya, inilah penyakit yang melanda kebanyakan kita ummat Islam, termasuk diri akoo sendiri. Terlalu memandang rendah kepada pegangan kita dan kepada pemikiran non muslim itu sendiri. Akoo terlalu takut dengan fakta yang akoo imani. Sedangkan, jikalau disampai dengan baik kepada mereka, rupanya, mereka boleh menerima bahkan menyokong apa yang kita sampaikan. Kerana, Islam itu rahmatan lil 'alamin.(Rahmat untuk sekalian alam). Bukan hanya rahmatan lil muslilmin(rahmat untuk orang Islam).

DIDIKAN BARU

Mendapat hikmah daripada didikan baru si Dia. Mudah-mudahan, diri ini mampu menghadapi cabaran yang mendatang.

Menulis di entri mungkin kelihatan indah dan mudah. Namun, mempraktikkannya, cukup menduga iman. Takut-takut, akan pancit di tengah jalan.

Mudah-mudahan, dikurniakan iman yang teguh bagi menghadapinya. Amin~

"Usah dipinta hidup yang MUDAH, tetapi pintalah iman yang KUAT bagi menghadapi kesukaran dan cabaran kehidupan ini"