Recent Posts

Friday, December 3, 2010

perINGATan bukan pengHALANG!


"Tegakkan Islam dalam dirimu, maka Islam akan tertegak di sekelilingmu"

"Akoo pelik melihat orang yang sibuk mengatakan ingin menegakkan negara Islam, tetapi kerabat keluarganya sendiri tidak mengamalkan Islam"

"Keluarga sendiri pun xmampu dibaiki lagi, nikan pula nak baiki orang lain"

Alhamdulillah.. Sempat menghadiri kuliah Sheikh Prof Dr. Said Ramadhan Al Bouti tempoh hari. Sekian lama ingin bersua muka dengan penulis tersohor buku Fiqh Sirah, yang merupakan bapa kepada Tariq Ramadhan. Namun, bukanlah "siapa" yang menjadi tarikan, tetapi "apa" yang disampaikan. Walaupun zionis laknatullah yang berbicara, andai kata apa yang dikatakan itu benar dan boleh dijadikan teladan, maka ambillah sebagai hikmah buat diri. Itu yang akoo pegang.

Dalam kuliah tersebut, Said Ramadhan membawa satu sudut yang kian terlupa dalam menegakkan daulah atau negara Islam. Bila terlalu sibuk dan gersang menegakkan suatu sistem yang dinamakan negara Islam, maka kita terLUPA(akoo ulang, terLUPA!!) akan perkara asas atau fundemental dalam menegakkannya, iaitu menegakkan Islam dalam diri sendiri, keluarga dan mereka yang dekat dengan kita.

Sedangkan, jika kita benar-benar membangunkan diri dan keluarga, itulah asas kepada pengamalan Islam yang sebenarnya. Daripada beberapa individu yang faham Islam, lahirlah keluarga yang faham Islam, masyarakat Islam dan seterusnya daulah Islam.

Akoo cukup bersetuju dengan apa yang disampaikan. Cuma, apabila ditanya oleh rakan dalam perjalanan pulang, akoo mengatakan, "jadikan kuliah malam ni sebagai perINGATan, bukan pengHALANG".

Benar! Kerap kali kita tersilap tafsir antara peringatan dan penghalang. Selalunya, orang yang memberi peringatan, tersilap teknik sehingga akhirnya sebenarnya dia sedang menghalang. Dan, orang yang mendengar peringatan pula, tersalah tafsir hingga akhirnya menganggap peringatan itu adalah penghalang. Peringatan telah bertukar menjadi penghalang.

Di jalan raya, kita akan diingatkan dengan signboard "Awas, kawasan kemalangan", "Selekoh tajam" dan sebagainya. Adakah dengan signboard itu, kita harus menghentikan kereta atau patah balik tidak melalui jalan tersebut? Sudah tentu tidak! Kerana ia adalah perINGATan.

Pada pendapat akoo, (tidak dipaksa untuk bersetuju) peringatan itu adalah untuk menyedarkan mereka yang terlupa. Sebagai contoh, dalam isu penegakan negara Islam, disebabkan kita terlalu asyik berbicara dan memahamkan masyarakat tentang negara Islam, kita terLUPA akan keluarga sendiri. Maka, di situlah fungsi peringatan, untuk mengingatkan kembali tanggungjawab yang kita lupakan, dan tanggungjawab kita kepada masyarakat perlulah diteruskan. Sedangkan, mereka yang menafsirkan sebagai penghalang pula, akan memikirkan bahawa memahamkan masyarakat dalam keadaaan keluarga sendiri pun belum faham Islam, adalah suatu kesalahan. Maka, mereka akan berhenti memahamkan masyarakat, atas dasar ingin memahamkan keluarga terlebih dahulu.

Pun begitu, dalam situasi yang sama, kita sering menghukum orang lain. Orang yang hebat dalam menegakkan Islam di peringkat masyarakat, tetapi mempunyai keluarga yang bermasalah sering mendapat tohmahan. "Cakap lebat, anak kat umah sendiri pun tak terjaga". Itulah kebanyakan antara kita. Bagi akoo, jika kita berpandangan demikian, kitalah yang silap kerana di situ membuktikan kita tidak menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang saudara Muslim.

Ya! Andai kata kita melihat seseorang itu mampu menegakkan Islam di peringkat masyarakat, namun, akibatnya kurang dapat menumpukan perhatian kepada keluarganya, kitalah yang seharusnya bertindak menolongnya... andai kita seorang saudara Islam yang baik. Hal ini kerana, dia mempunyai bakat dan mampu untuk pergi ke peringkat masyarakat, sedangkan kita tidak mampu untuk pergi sejauhnya. Sepatutnya, kitalah yang perlu menolong jika ada sedikit masalah dalam keluarganya, bukan menambah beban yang ada pada dirinya dengan bercakap di belakang. Akoo lebih suka berpendapat demikian.

Oleh sebab itu, harus ditekankan peringatan bukan penghalang. Dalam menegakkan Islam, peringatan sangat diperlukan kerana kita sentiasa lupa, terlupa dan dilupakan. Sayangnya, apabila kita lebih suka menghalang daripada mengingatkan. Dan, kita juga lebih suka mengambil peringatan itu sebagai penghalang.

Sekadar renungan untuk diri sendiri yang sedang kosong hatinya~