Recent Posts

Friday, November 5, 2010

Perubatan Islam: Bukan Sekadar "ITU"


Bila disebut "perubatan Islam", apakah yang akan bermain di fikiran kita?

Dalam budaya masyarakat kita, boleh dikatakan istilah ini cukup sinonim dengan rawatan menggunakan ayat Al Quran, menggunakan ayat jampi, rawatan apabila dirasuk jin, berbekam, madu lebah dan sebagainya. Perubatan yang diamalkan oleh mereka yang berijazah perubatan di universiti adalah "perubatan Barat", dan sudah tentu ada yang cukup "alergik" dengan kalimah Barat diterapkan dalam hidupnya.

Namun, adakah benar demikian?

Seorang tokoh dalam bidang perubatan, yang merupakan antara perintis kepada idea Hospital Mesra Ibadah di Malaysia pernah menegur akoo menggunakan kalimah "perubatan Islam". Hal ini kerana bagi beliau, tidak ada yang dikatakan perubatan Islam, yang ada ialah kita memasukkan nilai Islam dalam perubatan itu sendiri.

Ada benarnya kebimbangan dan teguran beliau, di mana persepsi masyarakat terhadap perubatan moden atau Barat sangat sempit. Perubatan moden dilihat sebagai satu amalan yang terasing daripada Islam. Sedangkan, Islam itu adalah agama yang menekankan ummatnya tentang konsep "sunnatullah". Segala eviden, kajian dan ubatan yang ditemui oleh manusia dalam perubatan itu tidak lain tidak bukan adalah hukum yang Allah Taala tetapkan dalam alam ini.

Justeru, mana mungkin Islam menolak kaedah atau method perubatan moden itu sendiri, bahkan perubatan moden itu adalah sebahagian daripada tuntutan Islam(fardhu kifayah) untuk kita pelajari.

Bukanlah maksud diri untuk menolak rawatan yang di"khabar"kan perubatan Islam yang ada, namun, tidak mahu pandangan masyarakat HANYA melihat perubatan Islam:- jin, jampi, urut, madu, bekam. Walaupun ada pihak yang mengamalkan perubatan moden, menolak mentah-mentah perubatan yang dikategorikan sebagai "perubatan tradisional" ini, akoo tetap percaya rawatan ini punya hujahnya sendiri dan tetap ada kebaikan di sebaliknya.

Sayang seribu kali sayang, apabila ada doktrin-doktrin yang diinjek kepada masyarakat bahawa hanya "perubatan Islam" ini sahajalah yang mengikut syariat Islam. Perubatan moden atau Barat itu tidak syar'i dan kononnya ia hanyalah tipu daya Barat. Sedangkan, mereka sendiri menggunakan nama "Islam" untuk memajukan bisnes mereka. Doktrin seperti inilah yang merosakkan minda masyarakat, sekali gus memberi imej buruk kepada Islam itu sendiri, apabila dilihat jumud dan tertutup kerana tidak mahu menerima perkembangan teknologi.

“Hikmah itu adalah barangan yang tercicir (dari tangan) orang Mukmin. Di mana pun beliau menemuinya, maka dialah yang paling berhak terhadapnya”

0 comments: