Recent Posts

Monday, May 23, 2011

Kefahaman JITU


"Matlamat perjuangan kita adalah ingin mencapai mardhatillah(keredhaan Allah)" kata presiden sebuah organisasi. Mereka yang lain ada yang menulis untuk dijadikan catatan, ada yang mengangguk, dan tak kurangnya ada yang tersengguk.

Akhir-akhir ini, keinginan untuk membaca buku karangan orang Barat membuak-buak. Pada asalnya, disebabkan stigma dengan Bahasa Inggeris dan "karangan orang bukan Islam", menyebabkan buku-buku mereka bukanlah menjadi minat dan rujukan. Sikap malas membaca juga tidak perlu dilupakan.

Namun, setelah berjinak-jinak dengan 7 Habits, The Magic of Thinking Big, Men Are From Mars, 360 Leaders, Follow Your Heart, dan seangkatan dengannya, paradigmaku mula berubah. Feelnya lain berbanding membaca buku karangan orang "timur". Ada satu unsur yang sama di kalangan mereka. "JELAS"! Cuma, kurang satu lagi unsur yang penting, "TEPAT"!

Ramai mereka yang mendakwa diri sebagai pejuang Islam mengungkapkan ayat di awal entri. Namun begitu, bila ditanya, "Bagaimana nak capai benda tu?", semua masih teragak-agak dan ada yang tak mampu untuk memberikan jawapan. Oleh itu, lahirlah mahasiswa yang berpemikiran ilmu di dalam kelas dan dewan kuliah mereka tidak penting berbanding ilmu haraki dan ilmu agama. Lahirlah juga mereka yang berpemikiran bahawa konsep negara Islam itu, adalah negara yang HANYA didiami oleh orang Islam. Dahsyatnya sekular meracuni pemikiran kita! TEPAT, tetapi TIDAK JELAS!

Situasi yang lain, mengingatkanku kepada keBANYAKan mereka yang terlibat dalam MLM dan agen insurans. Matlamat cukup JELAS!

"Dalam masa 5 tahun, akoo dah boleh ada kereta dan rumah sendiri" renung seorang anak muda di kafe kolej selepas baru lepas mendaftar sebagai agen MLM.

"Kita ni sebenarnya Allah dah bagi peluang untuk kita jadi kaya. Cuma, ramai antara kita ni tak nak jadi kaya." jelas seorang agen insuran yang berjaya dengan kotnya. Perempuan, namun masih berjaya menjawat jawatan tinggi dalam syarikat terbabit membuktikan betapa bersungguhnya dia dalam menjalankan bisnes ini.

Berkeyakinan. Lengkap dengan strategi bagaimana untuk mencapai kekayaan tersebut. Jika seorang customer, boleh mendapat pulangan sebanyak 600 setahun, kalau 20 customer? 100 customer?? Wow! Sehingga kadang-kadang kita yang mendengar turut terkesima dan kagum dengan mereka. Sayang sekali apabila RAMAI, yang hanya memandang dunia dan material semata-mata. JELAS, tapi TIDAK TEPAT.

Oleh sebab itu, keFAHAMan yang JITU dalam mengenal makna sebuah kehidupan perlu diterapkan bagi melahirkan individu muslim yang efektif. Bukan hanya faham secara surface dan superficial. Faham sehingga melahirkan individu yang tidak mengasingkan antara TEPAT dan JELAS.

Mahasiswa yang benar-benar FAHAM, sedar akan apa tugasnya sebagai seorang mahasiswa, bukan sekadar orang yang memenuhi kerusi di dewan kuliah, tetapi sebagai pengisi kepada pembangunan negara dan tamadun pada masa akan datang. Justeru, jika dengan ponteng kuliah boleh menyebabkan peranan itu terbantut, maka ponteng kuliah itu bukanlah satu tindakan yang TEPAT dan JELAS. Namun, jika ponteng kuliah demi menjalankan tugas yang lebih besar menyumbang kepada peranan itu, maka itu adalah tindakan yang JELAS dan TEPAT.

Apa yang penting, kita harus FAHAM kenapa kita memilih untuk membuat sesuatu tindakan. Maka tidak hairanlah, 13 tahun Nabi SAW mendidik sahabat di Mekah, menekankan soal aqidah. Dan tidak hairan juga, Asy Syahid Imam Hasan Al Banna meletakkan "al-fahmu" sebagai rukun pertama dalam 10 Rukun Bai'ah Ikhwanul Muslimin.

FAHAM itu bukan hanya TEPAT, tetapi mesti disertai dengan JELAS! Barulah menghasilkan kefahaman yang JITU. Apa itu JITU? Teringat subjek Fizik semasa sekolah menengah, jitu itu ialah kebolehan untuk menilai mengHAMPIRI NILAI SEBENAR!

Beres? Dah FAHAM? Jitu atau hanya superficial? Kalau dah jitu, selepas ini, kita teruskan topik dengan tajuk kefahaman PERSIS pula. Hehe.. Habis istilah Fizik masuk!

0 comments: